Monday, 6 October 2014

Takda Ramp... Macam Mana Nak Masuk Ni

Kedua-dua tangannya pada sisi kerusi roda memegang dan memusing push ring ke depan. Kemudian pegangan itu dilepaskan lalu tangannya letak pada bahagian belakang push ring semula untuk digerakkan ke depan. Roda kerusi terus berputar  perlahan-lahan di kaki lima melepasi beberapa kedai yang berada di sebelah kanan. Akhirnya Kamal menghampiri bank. 

Seorang lelaki yang datang dari seberang jalan berjalan terus ke arah bank. Dia menolak pintu kaca ke dalam lalu melangkah masuk ke dalam bank. Pintu kaca dilepaskan tutup semula.  

“Argh…step lagi.. takda ramp.. macamana nak masuk ni,” Kamal memandang permukaan lantai sekitar pintu masuk bank. Terdapat satu step di mana permukaan lantai antara kaki lima dengan bank tidak sama ketinggian. Lantai bank itu lebih kurang 8cm lebih tinggi daripada kaki lima. Kamal berhenti di depan bank berhampiran dengan pintunya. Dia menunggu di sana memandang ke kiri kanan.  

“Excuse me encik. Boleh tolong tolak saya masuk bank,” Kamal meminta tolong daripada seorang lelaki yang berjalan datang. Lelaki itu kelihatan berumur dalam lingkungan 30-an dan berpakaian kemeja lengan panjang. Agaknya datang dari pejabat untuk berurusan dengan bank.

“Aku kejar masa,” teriak lelaki itu sambil berjalan terus ke bank.

Ingat aku suka kacau orang lain minta tolong kah? Aku ni nak berdikari…nak pergi sana sini sendiri…nak buat sendiri. Tak mahu susahkan orang. Tapi… persekitaran dan kemudahan dibina berdasarkan keperluan orang ramai yang upaya saja tanpa memikirkan keperluan kami yang kurang upaya. Tak fikir OKU dapat gunakannya atau tidak. OKU juga mempunyai hak untuk ini untuk itu seperti kamu semua. Kami juga perlu menjalani kehidupan harian. Kamal berasa kecewa bercampur geram.

“Abang, kenapa duduk kat sini? Ada apa boleh saya bantu?” tanya seorang remaja yang datang dari belakang Kamal.  Dia nampak Kamal melambai-lambai tangan pada dua orang mak cik yang ingin berjalan masuk dalam bank tapi mereka langsung tidak  menghiraukan Kamal.

“Adik, saya nak masuk dalam bank. Tapi kena ada orang tolong tolak saya, baru boleh masuk,” Kamal menuding jari pada lantai di pintu masuk tu.

Remaja itu menawarkan dirinya untuk bantu. Dia menolak Kamal sehingga berdepan dengan pintu masuk. Apabila terlihat pengguna kerusi roda di hadapan bank, pengawal bank yang berdiri di tepi mesin nombor giliran untuk membimbing pelangan-pelangan bank yang datang dan menjaga keselamatan  bank itu pun datang bantu. Pengawal itu membuka dan memegang pintu bagi mereka.

Remaja itu memastikan kerusi roda Kamal lebih kurang bersudut tepat pada pinggir lantai bank. Kemudian dia meletakkan kaki kanan pada hujung penyungkit kanan yang berada di bahagian belakang sebelah dalam roda kerusi. Kaki itu menekan penyungkit perlahan-lahan dan pada masa yang sama dia tarik bahagian pemegang ke belakang dan menekan ke bawah untuk mencondongkan kerusi roda ke belakang. Dengan itu, kastor iaitu roda depan kini berada dalam keadaan tergantung atas lantai kaki lima pada ketinggian yang sama atau lebih tinggi dengan permukaan lantai bank. Dia menggerakkan kerusi roda Kamal ke depan dengan menggunakan roda belakang sahaja sehingga kastor menyentuh permukaan lantai bank. Kemudian dia menolak kerusi roda ke depan lagi dengan daya yang lebih kuat untuk memaksa kedua-dua roda belakang bergolek dari permukaan yang rendah ke permukaan yang tinggi. Dia menolak sehingga kerusi roda masuk ke dalam bank sepenuhnya. Selepas itu, dia yang tangannya masih pada pemegang melangkah kaki ke permukaan lantai bank lalu menolak Kamal ke mesin nombor giliran.

Kamal berterima kasih pada remaja itu. Dia bersyukur kerana remaja itu tahu cara-cara membantu pengguna kerusi roda apabila berhadapan dengan step yang langsung tidak mesra OKU. Bukan itu saja, tetapi step juga tidak mesra kepada orang tua yang berkerusi roda, orang tua atau mereka yang sakit lutut, ibubapa dan penjaga yang membawa kereta sorong anak-anak kecil dan mereka yang membawa troli. Kamal mendapat tahu ibu remaja itu terpaksa dipotong kaki akibat penyakit kencing manis dua tahun yang lalu. Sejak itu, ibunya yang baru berusia 50 lebih tahun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Remaja itu meninggalkan bank lalu pergi ke kedai runcit yang selang tiga kedai dari bank untuk membeli barang-barang keperluan rumah yang disuruh ibu.

“Kenapa lambat ni? Saya dah lama sampai tunggu dalam kereta.” Kamarul berjalan masuk ke dalam bank lalu mendapatkan adiknya yang sedang menyimpan kad ATM yang baru dibuat dan beberapa keping kertas RM50 yang baru dikeluarnya ke dalam dompet. Kamal meminta Kamarul tolong hantarnya ke sini semasa Kamarul bersama-sama anak perempuan keluar rumah tadi. Kamarul tinggalkan Kamal di kaki lima lalu pergi menghantar anak ke sekolah. Dia datang ambil Kamal balik selepas hantar anak di sekolah.

“Tadi kat  luar lama… tunggu  orang tolak masuk.”

“Sekarang dah beres bang. Jom balik,” kata Kamal lagi yang penat. Penat kerana tunggu orang…minta bantuan orang untuk tolaknya masuk dalam bank sebentar tadi.  Penat juga kerana terpaksa tunggu pengawai bank masuk keluar dari sebelah dalam tempat mereka bertugas melalui pintu bersebelahan dengan deretan kuanter yang berkunci demi keselamatan, untuk membantu Kamal berurusan. Kamal tidak dapat berurusan dengan pengawai bank melalui kuanter seperti orang  lain kerana kuanter-kuanter tersebut  adalah terlalu tinggi baginya yang duduk atas kerusi roda. 

Kamarul menolak adiknya ke pintu. Pengawal bantu buka dan pegang pintu kaca itu. Kamarul memusing kerusi roda adik lebih kurang 180 darjah kepada posisi di mana mereka kelihatan seolah-olah mereka baru masuk dalam bank. Kamarul berjalan ke belakang dengan tangannya tetap pada pemegang menarik kerusi roda ke belakang sambil berpaling kepala ke  belakang meneliti kedudukan step.  Kemudian dia melangkah kaki turun dari permukaan lantai  bank ke kaki lima. Dia terus melangkah ke belakang dua tiga langkah. Kini roda belakang kerusi roda yang besar berada pada hujung permukaan lantai bank. Dia terus menarik kerusi roda  ke belakang. Bump… roda besar berputar turun ke kaki lima. Punggung Kamal lompat naik atas sikit seolah-olah apa yang kita rasai semasa kereta tiba-tiba dipandu melalui bonggol jalan yang besar. Roda turun diikuti kastor ke kaki lima. Kamarul pusing kerusi roda Kamal ke kiri lalu menolaknya ke arah kereta.

Fuh..begitu susahnya bagi pengguna kerusi roda apabila berdepan dengan step. Bukan saja mereka tidak dapat menghadapi step sendiri, tetapi sukar juga bagi orang yang membantu. Kamal tidak sanggup membayangkan betapa payahnya bagi seseorang yang menggunakan kerusi roda bermotor berhadapan dengan step. Sememangnya kerus roda bermotor memudahkan pergerakan seseorang pengguna kerusi roda lebih-lebih lagi apabila seseorang  itu  bergerak banyak. Dia tidak perlu memusing push ring yang meletihkan tangan apabila terlalu lama. Sebaliknya dia hanya perlu mengawal joystick yang dipasang pada hujung tempat letak lengan dengan daya yang sangat rendah. Tetapi pembantu bukannya boleh cuma memijak penyungkit untuk menaikkan kastor bagi diletakkan pada aras lantai yang lebih tinggi kerana ia lebih berat dan rodanya lebih besar. Dua tiga orang diperlukan untuk mengangkatkan bahagian depan kerusi roda dan menolak kerusi roda ke atas.

“Kenapa orang masih tak faham-faham ramp tu sangat penting???” Kamal mengeluh. Dia dan pengguna-pengguna kerusi roda amat memerlukan ramp yang berbentuk segitiga tegak dengan bahagian condongnya menghubungkan permukaan lantai yang rendah dengan yang tinggi. Bahagian condong itu haruslah landai juga. Dengan adanya ramp yang landai, mereka berupaya mengerakkan kerusi roda dari permukaan lantai yang rendah ke permukaan yang lebih tinggi dan sebaliknya dengan mudah.

Sedang Kamarul menolak kerusi roda Kamal di kaki lima, Kamal memandang pada pinggir kaki lima tengok-tengok kalau ada ramp untuk turun ke tepi jalan. Tapi hampa. Langsung tidak ada ramp  kat situ. Apabila hampir sampai pada kereta yang diletakkan di tepi jalan, Kamarul sekali lagi menolak Kamal menuruni step yang agak tinggi.

*****

Aduhai… Bagaimana OKU berkerusi roda nak bergerak dari jalan raya ke laluan pejalan kaki; nak bergerak dari jalan raya ke kaki lima; nak bergerak masuk ke dalam kedai, ke dalam restoran, ke dalam bangunan; dan sebaliknya jika tidak ada step ramp yang menghubungkan permukaan lantai yang rendah kepada permukaan lantai yang lebih tinggi.


Apa…minta orang tolong saja? Tengok betapa susahnya Kamarul dan remaja baik hati itu nak bantu Kamal naik turun step.

Di sesetengah tempat, ada juga step di sana sini di dalam sesebuah bangunan. Begitu juga pada kaki lima di sesetengah tempat. 

Kami DAPG ingin menyeru pada 
pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya 
menyediakan RAMP pada poin-poin yang strategik
sekiranya tempat-tempat itu ada step

No comments:

Post a Comment