Tuesday, 5 August 2014

Kenapa Tak Boleh Letak Kereta Di Sini??? Suka Hati Akulah

“Bapak, mana boleh park kat sini?” soal Karim pada bapanya yang memberhentikan keretanya pada lerengan di hujung laluan pejalan kaki.

“Diamlah kamu. Kecil-kecil dah pandai nak ajar bapa,” marah Encik Hassan.

“Cepat keluar. Kalau tak, kita balik saja,” tegurnya lagi. 

Karim diam dan muncungkan mulutnya. Dia mengambil kotak yang berbalut dengan kertas berwarna warni diikat dengan reben kuning lalu keluar dari kereta. Dia tahu bahawa orang ramai sepatutnya meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai; bukannya di depan lerengan. Namun, dia tidak mahu terlepas peluang menghadiri majlis harijadi sepupunya, Rohani, yang ke-9 yang diadakan di Restoran KFC.

“Banyak kereta ni. Naik ke atas pathways,” kata Hassan setelah dia memimpin anaknya berjalan tiga empat langkah di tepi jalan.

Mereka mengangkatkan kaki melangkah ke atas laluan pejalan kaki yang tingginya lebih kurang 12cm itu. Mereka berjalan terus di laluan pejalan kaki itu. Restoran KFC berada di penjuru bangunan. Karim berasa gembira apabila kelihatan beberapa orang sepupu dan rakan-rakan sekolah mereka yang sedang sembang dan bermain di dalam restoran, melalui cermin berlutsinar. Dia mempercepatkan langkahnya; meninggalkan Hassan di belakang. Dia berjalan sehingga selekoh laluan pejalan kaki itu lalu belok ke kanan. Sesekali dia berlari-lari dan melompat-lompat. Akhirnya dia tiba di pintu masuk restoran lalu masuk ke dalam.

Ketika Hassan masuk ke dalam restoran dan berjalan ke arah suadara mara, kelihatan dua orang pemuda dan seorang gadis yang telah selesai makan ingin meninggalkan restoran tersebut. Samy membuka pintu restoran dan Ahmad menggerakkan kerusi rodanya keluar dari premis; diikuti oleh Mary yang memandu kerusi roda bermotor. Samy melepaskan pintu itu; membiarkan ia tutup semula. Mereka berjalan mengikut arah kiri untuk ke perhentian bas. Mary sendiri memandu kerusi roda; manakala Samy membantu menolak kerusi roda Ahmad. Mereka bergerak hingga ke selekoh laluan pejalan kaki lalu belok ke kiri.

“Alamak, ada kereta Myvi kat depan,” kata Ahmad tiba-tiba apabila mereka hampir sampai ke penghujung laluan pejalan kaki.

“Biar saya pergi tengok dulu,” Mary mempercepatkan panduannya hingga ke hujung laluan untuk memerhati sama ada mereka dapat turun ke jalan raya atau tidak.

“Tak boleh turun la… Kereta Si Dia tu berada di atas kerb ramp. Ah!!!!!” Mary pusing kerusi rodanya balik semula.

Mereka semua terpaksa bergerak ke arah Restoran KFC semula dengan harapan agar mempunyai lerengan di satu lagi penghujung laluan. Sepanjang pergerakan, mereka memerhatikan pinggir laluan pejalan kaki. Tengok ada tak lerengan lain atau tempat yang sesuai bagi mereka turun. Hampa. Tiada lerengan di pertengahan laluan tersebut yang membolehkan mereka turun dari laluan pejalan kaki ke jalan raya. Mereka terpaksa bergerak sehingga melalui depan Restoran KFC semula dan akhirnya sampai ke penghujung laluan yang satu lagi. Nasib baik terdapat lerengan di hujung laluan itu.

Mereka menuruni lerengan itu ke jalan raya. Kini, mereka terpaksa bergerak di tepi jalan raya. Jalan raya yang dibina bagi kenderaan-kenderaan bergerak di atasnya; yang sebenarnya bukan tempat bagi pejalan kaki atau pengguna kerusi roda bergerak di atasnya. Mereka bergerak dalam satu barisan di mana Mary berada di depan dan Samy yang menolak kerusi roda Ahmad berada di belakang sekali. Mereka bergerak perlahan-lahan dengan berhati-hati. Sesekali Samy berpusing kepala ke belakang untuk melihat kenderaan yang datang dari belakang. Sekali dua dia meminta Mary berhenti atau memperlahankan panduan kerusi roda bermotor apabila kelihatan kereta atau motosikal yang datang dengan pantas.

Lebih kurang 30 minit kemudian, barulah mereka sampai semula di poin yang bersebelahan dengan penghujung laluan perjalan kaki yang lerengannya dihalang oleh kereta Myvi itu. Kereta itu masih berada di situ.

“Meluat tengok kereta ni. Suka hati saja dia park kat sini,” kata Ahmad dengan marah.

“Yalah… buang masa dan tenaga kita saja. Kita habis setengah jam begitu saja kerana dia. Kalau tidak, kita dah sampai perhentian bas. Mungkin juga dah naiki Rapid Penang,” sampuk Mary.

“Tiada kesedaran langsung. Orang macam ni pentingkan diri saja. Tak tahu dia telah menyusahkan orang lain…menyalahgunakan kemudahan orang ramai,” kata Samy pula.

Mereka menyeberangi lorong kecil.

“Kat sini ada ramp. So, nak guna pathways atau jalan raya?,” tanya Mary.

“I takut kerb ramp di sebelah sana pula dihalang kereta atau motosikal macam Myvi ini,” kata Mary lagi.

“Kereta yang lalu sini semakin banyak waktu ini. Baik kita guna pathways. Rasanya tiada kereta yang mungkin berhenti di sebelah sana. Kan ada traffic light kat situ. Di sana, kita menyeberangi jalan raya untuk ke perhentian bas,” cadang Samy yang memandang jauh ke depan.

Samy menolak kerusi roda Ahmad mendekati lerengan lalu menaiki lerengan itu, diikuti Mary di belakang. Ketiga-tiga sahabat meneruskan perjalanan mereka menuju ke perhentian bas.

*****


Situasi yang digambarkan dalam kisah ini di mana kereta, mosikal atau kenderaan lain diletakkan di hadapan / pada lerengan (kerb ramp); di laluan pejalan kaki (pathways / pavement / walkways) atau di tempat-tempat yang boleh menghalang laluan pengguna kerusi roda dan pengguna lain
sering berlaku dalam masyarakat kita.



Perbuatan meletakkan kenderaan sesuka hati seperti Hassan itu
sememangnya menyusahkan golongan OKU.

Kami DAPG ingin menyeru agar anda semua
tidak melakukan apa yang Hassan buat itu.